.: Of love and life 2~ :.

Wednesday, August 10, 2011

Sekadar perkongsian pengalaman yang ketika ini menciut hati~

Sebentar tadi ketika sedang berleha leha dihadapan komputer riba kesayangan, Melawat sahabat sahabat yang dekat dihati, aku dikejutkan dengan pesanan ringkas seorang muslimah yang aku kira aku kenali dari beberapa program yang pernah kami jalankan. Pesanannya ringkas, tetapi cukup membahagiakan~ Tentang jemputan perkahwinan majlis akad nikahnya nanti. Aku jadi tersenyum sendirian. Menumpang sedikit rasa bahagia sebagai sahabat~

Dan seketika, fikiranku melayang pada perbualan dengan seorang rakan sekerja baru baru ini~ Ketika minum teh bersama ketika waktu rehat, kami berbual. Dan yang paling menyentuh hati ini, adalah pada sebuah cerita yang dikongsikan dari pandangan seorang bapa dan suami~

Sejujurnya, aku bekerja hanyalah sebagai pekerja am di loji janakuasa elektrik. Berkawan dengan mereka memberikan seribu satu pengalaman yang mencuit hati dan terkadang sukar dilupakan. Oh, rata-rata mereka disini hampir sebaya, muda dan bahkan ada yang tua. Tapi itu semua tidak penting, yang penting hampir kesemuanya telah berkahwin.

Dan rakanku yang seorang ini, umurnya sebaya~ tetapi telah pun mempunyai dua orang anak untuk disara. Ketika dia membuka bicara tentang anak dan isteri, aku lihat ada rasa gembira dihatinya di satu sudut yang dalam. Bicaranya rancak~ dan ada masanya mengharukan. Dia bercerita tentang bagaimana kehidupannya selepas berkahwin. Dengan belanja susu dan lampin, anak dan isteri, terkadang ceritanya menyentuh hati.

Bergelar suami dan bapa pada usia muda bukanlah mudah. Ketika pemuda lain sibuk keluar bersama rakan, dia sudah pun membanting tulang mencari rezeki. Mengumpul harta untuk anak dan isteri yang disara~ Pernah satu ketika dia menceritakan bagaimana sedihnya rasa hati melihat anaknya tertidur diraga motor. Melihat isteri yang terlena ketika memeluknya, Benar benar menyentuh hati lelaki yang ingin yang terbaik untuk mereka.

Aku jadi teringat sewaktu aku kecil~ Ketika kami sekeluarga masih belum punya apa apa. Ketika ayah ketika itu hanya mempunyai sebuah motor kapcai, dengan rumah yang disewa, aku juga pernah tertidur diraga motor ayah satu ketika dahulu. Mungkin kerana itu sedikit sebanyak aku dapat memahami rasa sayu itu. Seketika, hati kecil itu tersentuh~

Dia merasakan itu semua pada usia yang sangat muda~
Dia mencari rezeki hingga berseliuh pinggang pada umur yang sangat muda~
Dan dia mengerti akan erti kematangan, dalam usia yang sangat muda~
Dan sejujurnya, aku menjadi kagum pada dia yang menjadi suami dan bapa pada umur yang sangat muda~

Ketika melihat dia berbicara tentang gelagat anaknya yang berumur setahun setengah merengek di pasar raya meminta dibelikan mainan, aku lihat ada riak resah dan bahagia di tutur katanya. Dengan pendapatan yang tidak seberapa, dengan kehendak anak yang ada ketikanya hendak dipenuhi, terkadang terpaksa juga dikorbankan belanja bulanan hanya untuk melihat anaknya bahagia seperti anak orang lain. Dan seketika, Aku menjadi sayu. Baru kini aku mengerti tentang kasih sayang ibu dan ayah ketika aku masih kecil, melayan teletah aku menginginkan mainan yang terkadang terpaksa ditolak mereka. Bukan kerana tidak mahu melihat anak mereka ketawa, tetapi kerana bebanan ekonomi yang terpaksa mereka tanggung. Sungguh, sebagai ibu bapa, susah untuk melihat anak susah.

Dan dalam, aku lihat ada sinar mata yang mengharap disebalik kesusahan dia membesarkan mereka. Harapan agar mereka menjadi anak yang soleh dan solehah serta dibanggakan~

Oh ya~ Terkadang dia juga sering bercerita tentang isterinya yang gemar memasak. Tentang lauk ini dan itu~ tentang juadah ini dan itu. Hingga terkadang geli hati mendengar dia bercerita.

Hoho~

Tetapi biasalah, hidup rumah tangga. Air ada pasang surutnya, cinta juga ada pasang surutnya. Adakalanya dia bercerita tentang cinta yang kuat mendominasi, dan adakalanya dia bercerita tentang tanggungjawab yang kuat mendominasi. Tetapi diatas semua itu, tetap ada kebahagiaan, dalam kesulitan. Ada embun yang mengalir direlung hati walaupun terpaksa menanggung beban yang sukar di dunia realiti~

Urm.. Mungkin sekarang masanya untuk mencari calon?
Aisya Humaira?

(Aku ketawa~ Skeptik sekali~)

.: Origami 3~ :.

Thursday, July 28, 2011

Usai solat subuh di pagi jumaat yang barokah itu, Iman berteleku lama di atas sejadah. Diambilnya mathurat yang tersisip kemas di atas mejanya. Duduk, dicium penuh takzim, dan kemudian membaca mathurat yang telah lama ditinggalkan itu dengan penuh tadabbur. Usai mathurat, dibacanya doa rabitah. Hingga di satu ayat, doanya terhenti.

Diamnya panjang~ Seketika mengalir air matanya menitis jatuh ke bumi. Dia sayu~ yang amat. Dengan teresak dia menyambung~

“Maka eratkan lah ya Allah akan ikatannya~
Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini~
Tunjukkanlah kepada hati-hati ini akan jalannya yang sebenar~”

Dia menangis~ Deras. Air mata yang ditahan seakan tidak mampu dibendung. Dia rindu~ Hatinya benar tersentuh apabila membaca doa yang yang pernah dibaca bersama sahabat Halaqahnya yang lain satu ketika dahulu.

Dia rindu pada wajah akhi Hafiz yang sentiasa mengejutkan dia subuh berjemaah dan tahajud. Dia rindu pada wajah akhi Shafiq yang yang sering menjadi tempat dia bersandar ketika lelahnya mentadabbur. Dia rindu pada akhi Rizal yang sering mengajaknya beriktikaf di Masjid bersama. Dia jadi rindu~ Rindu pada sebuah ukhwah yang terjalin utuh. Pada sebuah ikatan yang mereka ikat dengan hati.

Dalam, dia merenung jauh. Betapa rindunya dia pada sebuah ukhuwah. Pada wajah-wajah yang tidak pernah jemu mengenalkan dia dengan Islam. Mengenalkan dia pada sesuatu yang pernah dijauhi satu ketika dahulu. Maha suci Tuhan yang telah mengenalkan dia dengan Islam sebelum dia mengenal muslim. Dan kini baginya, kurnia terhebat bagi seorang insan yang kerdil dan buta sepertinya hanyalah islam dan itu sahaja sudah terlalu indah. kerana dengannya telah membuat dia 'hidup bernyawa' dan bangkit dari kematian yang panjang.

Hatinya penasaran yang amat~ Dia begitu rindu pada saudara saudaranya. Terlalu rindu. Mendambakan masa meluahkan rasa yang terbuku dihati. Rindu pada nasihat dan tazkirah yang diberi~ Rindu pada tenangnya hati mendamaikan rasa. Sejujurnya dirinya berat memikirkan keputusan Aisya malam semalam. Hatinya dirundung resah yang amat. Hingga lena tidurnya terganggu~

“Hafiz~~ Ana perlukan nasihat antum~~” Desis hati kecilnya~

Dikumpulnya kekuatan menatang hati. Menatang tangis mengharap ketenangan. Setelah hatinya mantap Iman kemudian menyambung teleku di atas sejadah pada pagi hening itu dengan bacaan surah Al Kahfi sehingga habis 110 ayatnya. Kemudian ditadabburi ayat-ayat cinta dari Allah itu satu persatu.

Air matanya jatuh lagi~

Betapa indah empat cerita yang disebut dalam surah itu... Serasa begitu lama tidak mentadabburi ayat-ayat cinta dari Allah, dek kerana menyibukkan diri dengan tugas pejabat dan segala macam urusan dunia.

Dan pagi itu seolah suatu ketenangan menyusup masuk ke jiwanya. Menjernihkan jiwa yang sedang kekusutan. Akhirnya dia mantap~ Menerima keputusan Aisya Humaira. Iman bangkit menuju ke meja. Dicapai telefon bimbitnya dan ditaip ringkas.

“Aisya, Tentang permintaan Aisya semalam, Iman dah fikirkannya. Dan Insya Allah, Iman juga sudah mempunyai jawapannya. Aisya terima Iman dalam keadaan yang baik, dan Iman akan lepaskan Aisya dalam keadaan yang baik. Jika sudah mantap keputusan Aisya, Izinkan Iman menyatakan jawapan Iman dihadapan Pakcik Amran dan Ummi nanti~"

Pesanan ringkas itu dihantar~

.: Contengan~ :.

Saturday, June 11, 2011

Sekadar coretan luahan rasa~
Tidak perlu dibaca~

Seharian melakukan kerja di teriknya panas mentari benar memaksa diri menagih sedikit rehat. Terkadang sedikit malu~ Seorang budak praktikal yang pernah melakukan latihan industri di sini memegang cangkul dan tuala. Yang menyodok sisa sisa arang di tepi jalan. Mengangkat dan juga membuang. Tetapi lantas ditepis rasa itu jauh jauh~ Sebagai pendidik hati. Sebagai pengingat diri, yang dirinya tidak lebih dari seorang buruh.

Tapi itu tidak penting~ apa yang aku ingin coretkan disini, tentang suatu peristiwa yang aku lihat dari kaca mata seorang buruh. Dari kaca mata rakan rakan sekerja yang membanting tulang siang dan malam bagi mencari sedikit rezeki. yang terpaksa bersakit pinggang dan berseliuh bahu hanya kerana anak anak yang ingin dibesarkan. Dan kalian tahu berapa layaknya upah yang mereka terima? Setimpal gaji pelajar latihan industri disini. Hanya selayak itu.

Aku jadi runtun apabila bersama mereka membanting tulang menitiskan peluh~ apabila merasai sakit susahnya berkerja seperti mereka, aku jadi mengerti satu perkara - Aku tidak pernah layak untuk mengeluh~ Tentang kehidupan, tentang kesusahan, malah apa pun. Kerana apa yang telah ada diberikan kepada kita sudah cukup sempurna untuk kita.

Pernah berada di dua tempat berbeza, aku melihat dua pandangan yang berbeza.Keluhan pekerja yang tidak dihiraukan, dan juga keluhan penggerak yang mengharapkan kesempurnaan. Bukan sekadar atas dan bawah~ Tinggi dan rendah, susah dan senang~ Bahkan juga melihat tentang nilai dan akhlak. Yang semakin terhakis dan semakin terhapus di kedua dua pihak.

Mungkin benar, pandangan hidup manusia sentiasa berlainan. Pandangan anak anak yang membesar dalam kesenangan mungkin tidak akan sama dengan anak anak yang membesar dalam kesusahan. Dan pandangan anak anak yang membesar dalam kesopanan, tidak akan sama dengan dengan pandangan anak anak yang membesar dalam kenakalan.

Entahlah~ Tetapi satu yang aku pasti dalam dua pandangan, kita tidak pernah layak untuk menghukum dan menghakimi antara satu sama lain. Mungkin dengan memahami, kita akan dapat merapatkan kedua jurang yang terpisah jauh. Jurang yang terpisah jauh bukan dengan jurang pangkat, tetapi dengan jurang hati.

Semoga hati kita mampu mencintai Dia, dan mengajak orang mencintai Dia, dan dengan bersama sama mencintai Dia, kita akan dapat merapatkan jurang hati yang telah lama jauh terpisah kerana melupakan Dia. Semoga dengan mencintai Dia, kita dapat memahami~ dan dapat mengerti antara satu sama lain.

Aku jadi kagum lagi dengan Baginda Rasul~ yang dapat menyatukan hati hati manusia yang keras seperti Saidina Umar hingga terhapusnya jurang hati itu. Hingga tiada lagi beza diantara khalifah dan rakyat~ Saudagar dan pendatang. Penduduk tetap dan perantau.Tetapi dengan satu ikatan - saudara.

Sungguh, Aku terlalu ingin melihat akhlak mu Baginda.
Sungguh~ Aku rindu. Walaupun aku tidak pernah layak untuk merindu~

Tuhan~
Jika nanti kau ingin menaikkan martabatku~
Jangan kau biarkan aku melupakan Mu~
Jangan kau biarkan aku menjauhkan manusia dari Mu~

Ku mohon~
Letakkan dunia ditanganku,
Untuk aku gengam erat~
Tetapi bukan di hatiku,
Untuk aku cintai mati~

-Rindu, yang terlalu

.: Origami 2~ :.

Tuesday, May 24, 2011

Wajah Aisya tertunduk seketika. Di cuba alihkan pandangannya ke lantai~ tetapi yang dilihat bahkan Air mata yang menitik jatuh di sisi lantai tersebut. Entah kenapa berat sungguh hatinya melihat seseorang yang pernah memberi makna dalam hidupnya. Entah kenapa hatinya sayu walau hanya melihat kelibat lelaki itu melintas lalu dihadapannya.

---------

Tetingkap ym terbuka~ terpampang wajah Iman di tetingkap komputer riba Aisya Humaira. Tetapi entah kenapa tangannya tidak betah membalas ym tunangnya itu. Dibiarkan~ Dipandang kosong. Tanpa hati~ tanpa perasaan.

Walaupun sebulan lagi lelaki itu akan menjadi halal, tetapi hatinya masih berat menerima Iman. Mungkin kerana peristiwa petang tadi meruntun kembali memori terhadap seorang lelaki yang pernah memberi harap. Mungkin kerana hatinya masih belum melepaskan “dia” sepenunya.

Iman Danish : Assalamualaikum Aisya, are u there?
BUZZ!!
Iman Danish : Aisya?
BUZZ!!

Dipandang kosong~ Iman.. Maaf, Aisya keliru. Aisya perlu masa. Bisik hati kecil Aisya Humaira. Dicapai gelas kaca di sisi komputer riba. Bangkit~ Terus menuju ke dapur. Di dapur, fikirannya melayang pada pertemuan pertama dia dengan Iman dua tahun yang lepas~ Di sebuah program yang disertai ketika tahun akhir di Universiti

---

“Cantik origami tu” Tegur Iman.

Aisya menoleh, seketika tersenyum. Dialih pandangannya kembali kepada origami yang dibentuk. Berbentuk burung. Ringkas~ tetapi kemas. Pandangannya tepat memandang origami burung tersebut. Tidak mungkin dia membalas pandangan seseorang yang bukan miliknya~ Apa lagi membuka ruang hatinya untuk insan lain.

Melihat Aisya berdiam, Iman bangkit. Kamera Canon disisi diambil, dan Iman terus menuju ke kumpulan lain. Sebenarnya dia hanyalah fasilitator undangan dalam program tersebut. Dijemput mengisi beberapa modul atau sekadar menyibuk di program tersebut. Kebiasaan nya begitu. Mengadakan program sendiri, atau menyingah lalu program teman teman, Hingga terkadang, dirinya menagih sedikit rehat pada hari hari minggu.

Aisya meletakkan Origami burung di sisi. Diambil sebatang pen dan ditulis disayap kiri origami itu sebuah nama.

“Aisya Humaira”

Dan dari kejauhan, Iman tersenyum~ Melihat gelagat Aisya Humaira yang baru dikenali.

-----

Bunyi cerek air memintas lamunan Aisya. Seketika Aisya tersedar. Dia beristifar~ betapa memori membawanya jauh fikirannya terbang. Diambil gelas tadi~ Dibancuhnya segelas susu panas dan kembali pulang ke meja. Ada kerja yang harus diselesaikan.

Seketika sampai dimejanya, mata Aisya terpandang pada tetingkap ym Iman yang terbiar. Ada pesanan yang ditinggalkan.

Iman Danish : Aisya, Iman dah telefon pakcik Amran semalam, about our wedding dress. Pakcik kata, dia serahkan urusan itu pada kita. Then bila Aisya free, let me know. Iman mintak cuti. I’ll fetch u and Ummi sekali nanti. Okay~

Pesanan itu dipandang kosong. Entah kenapa hatinya berbelah bahagi. Diletakkan gelas berisi susu disisi meja.

Aisya berbaring di katil memikirkan... Benarkah ini bakal suaminya? Bakal bapa kepada anak-anak yang ingin dihantarnya syahid ke syurga? Kata-kata Kakak tempohari benar-benar menghantuinya kini.

---

Oh? cerita ini tiada makna~ sekadar lintasan lalu memori. Teeehee :P

http://imandanish82.blogspot.com/2011/02/origami.html

.: Antara sabar dan syukur~ :.

Friday, May 6, 2011

Selesai solat Jumaat tadi, aku ada satu peristiwa yang meruntun hati aku melihatnya. Dalam perjalanan pulang dari Johor Bahru ke Pontian, aku singgah menunaikan Solat Jumaat di sebuah tempat yang aku kira masih lagi dalam kawasan kekampungan. Dan dalam perjalan pulang, aku terlihat seorang nenek tua mendukung seorang anak kecil yang aku kira cucunya. Keadaannya daif~ cukup meruntun hati. Entah sudah berapa jauh nenek tua itu berjalan mendukung cucunya. Tapi yang pasti, di situ bukan kawasan perumahan. Hanya ada ladang sawit kiri dan kanan.

Aku jadi terdetik untuk berhenti dan bertanya~ Sekadar ingin menghulurkan bantuan andai diperlukan. Saat aku hampiri, nenek tua itu tersenyum. Ikhlas sekali. Dan ternyata, bila aku hampiri, cucu nenek itu seorang yang cacat. Aku jadi runtun seketika~

“Nenek, nenek nak kemana~ nak saya tumpangkan?” Tanyaku. Seketika pandangan aku alihkan kepada cucunya. Sedang tidur~ Nyenyak di pelukan nenek tua itu.

Nenek itu tersenyum. Lantas menolak dengan lembut. Katanya rumahnya hanya dihadapan. Aku tersenyum. Lantas meminta diri~ Sepanjang perjalanan pulang, aku jadi termenung yang lama di atas di motor. Entah fokusku kemana tetapi sepanjang pemanduan fikiranku bukan di situ. Aku kira aku tidak akan kuat untuk mendukung seorang anak kecil sambil berjalan sejauh itu. Tambahan pula hari yang cukup panas. Entah kenapa, hati kecilku tersentuh. Aku kesal. Beristifar seorang diri. Seorang yang masih muda tetapi kudratnya bukan untuk bersyukur. Bahkan mengeluh. Sejujurnya kebelakangan ini aku agak keletihan. Penasaran dengan erti hidup. Penasaran dengan sesuatu yang aku kira layak untuk aku miliki. Penasaran dengan kerja yang memerlukan keringat. Astagfirullah~

Dan di sepanjang perjalanan itu, aku mengulang ingat kembali kata-kata Dr. Asri yang pernah aku dengar satu ketika dahulu~

Betapa apa yang ada pada diri kita sudah menjadi harapan kita~

Aku jadi teringat pada satu ketika dahulu, ketika aku merasa tewas dengan kehidupan. Dan lantas berkeluh kesah menginginkan kehidupan yang normal. Tanpa perjuangan~ Tanpa pergorbanan~ dan tanpa terikat dengan ikatan apa pun. Dan ketika itu seorang sahabat kembali mengingatkan, Apa yang ada pada kita sudah menjadi harapan kita. Selayaknya yang berkata begitu bukan aku. Aku bahkan tidak layak untuk mengeluh begitu. Betapa ramainya manusia yang dilahirkan cacat~ tetapi bahkan mereka tidak pernah mengeluh tentang kehidupan.

Betapa terkadang kita sering terlupa untuk bersyukur.

Pertemuan seketika dengan nenek tua itu benar benar memberi kesan dihati. Betapa selama ini aku mengeluh~ kerana terpaksa menanti dan menaiki bas ke kuliah setiap hari. Sedangkan rakan yang lain tidak perlu bersusah payah menyusun waktu dan bersesak sesak ke kelas. Bahawa terkadang aku mengeluh, kerana terpaksa menghabiskan waktu berjam hanya kerana ingin membeli dan mencari satu barangan di sesuatu tempat, sedangkan temanku yang lain tidak perlu merasai itu semua.

Tetapi bahkan nenek tua yang sebentar tadi muncul dalam kisah hidupku, begitu tabah menghadapi kehidupan. Saat selayaknya beliau mengeluh, beliau zahirkan dengan senyuman. Saat orang lain berlalu tanpa peduli, beliau bahkan gagah menyusun langkah dalam keterikan. Zahir dengan senyuman~ Oh, jika kalian melihat bagaimana keadaan nenek itu, pasti kalian faham dengan apa yang aku maksudkan meruntun jiwa~

Sungguh, aku tidak pernah layak untuk mengeluh~

Pahlawan kehidupan bukan pahlawan yang mengeluh dengan kehidupan.

Yang membuat hatiku tersentuh sekali, adalah bagaimana keterimaan aku tentang sebuah program baru baru ini. Sebagaimana layaknya harapan yang mengunung untuk program itu, aku kira aku layak. Kerana telah berusaha semampuku~ tapi ternyata rezekiku bukan disitu. Aku nyata berkeluh kesah~ Allah, jahil sekali.

Hingga seolah-olah lupa bahawa aku pernah menghadapi kesukaran hidup. Sehingga seolah-olah terhalang dari melihat ujian ujian kehidupan yang pernah aku jalani. Hingga hati kecil itu memujuk “Berapa banyak keperitan hidup yang telah aku lalui sepanjang hidupku?”

~ketika kita merasai keperitan dalam kehidupan ~
Letih dalam kehidupan yang melelahkan~
Dan ketika kita merasakan bahawa kita tidak akan dapat keluar daripadanya~
Tetapi hari ini Allah telah mengeluarkan kita dan membiarkan kita berada dalam keadaan yang baik~

~ketika kita ditimpa dengan musibah tertentu~
Kita berkeluh kesah “Habislah aku~ Matilah aku”~
Tetapi hari ini usia kita tetap berjalan~
Kita masih hidup dan berjalan menikmati Kurniaan dalam kehidupan ini~

~ketika kita berteriak~
“Ya Allah, Tolonglah hamba Mu ini ya Allah~ Tolonglah aku. Aku susah”~
Tetapi hari ini kita bahkan lupa dengan teriakan kita dahulu~
Bahkan terlupa untuk bersyukur~


Benar kata Dr. Asri tentang nikmat dan kebahagiaan~ Terkadang apa yang nikmat, sebenarnya bukanlah nikmat. Kita sangkakan orang yang tidur di tilam empuk itu lenanya nyenyak. Tetapi terkadang, yang tertidur di pelukan seorang nenek bahkan lebih nyenyak lenanya. Kita sangkakan mereka yang menikmati hidangan lauk pelbagai itu enak~ tetapi terkadang yang menjamah satu dua lauk itu lebih merasai nikmatnya. Kita sangkakan mereka yang hidup didalam rumah besar itu bahagia~ Tetapi terkadang mereka yang tinggal rumah kecil layaknya digelar reban lebih bahagia hidupnya~

Kata Hamka~ Lihatlah, betapa Allah membahagi bahagikan nikmatNya~

Aku jadi bersetuju dengan kata kata ini lagi~ Jika Allah ingin memberikan kebahagiaan kepada seseorang, maka tiada tangan apapun mampu menghalangnya. Dan jika Allah menghalang kebahagiaan seseorang, maka tiada tangan apapun mampu menghulurkan bantuan kepadanya~

Terima kasih Tuhan~ untuk dugaan sebesar dunia.

Sungguh, kami tergolong dalam golongan hambaMu yang terlalu sedikit bersyukur. Benar kata para sarjana, Terkadang syukur itu lebih tinggi makamnya dari sabar. Saat di uji dengan ujian kehidupan~ kita masih mampu untuk bersabar. Tetapi saat di uji dengan nikmat, terlalu sedikit yang mampu bersyukur.

Kita ditimpa ujian~ lantas kita berkata “Sabar je la. Nak buat macam mana~”
Tetapi sering kita lupa, untuk mensyukuri apa yang telah kita ada~

Dan aku amat tersentuh dengan kata-kata seorang Ikhwah~ "Jika Tuhan membiarkan nasib seseorang itu ditentukan oleh dirinya sendiri, walaupun sekelip mata~ maka seketika dunia boleh berbuat apa sahaja kepadanya."

Sabarlah~ dan syukurlah.
Tuhan~ Gengami hatiku erat erat~
Agar tidak terjatuh dan tertatih semula~
Semoga~ Semoga~ Semoga~

.: Dari Aufa hingga Aisya~ :.

Wednesday, April 13, 2011

Dia terduduk~ Termangu seketika melihat pesanan yang masuk melalui peti elektroniknya. Detak-detak hatinya yang laju kian bertukar menjadi semakin perlahan apabila membaca tajuk emel tersebut. Nyata, isi kandungan emel tersebut tidak seperti yang diharapkan. Tidak seperti doanya yang panjang-panjang yang diminta olehnya disetiap tahajud.

Berita itu sekadar berita~

Sekadar mengundang hampa pada hati yang berharap.

Jawapan yang diberikan oleh Aufa Afina benar mengejutkan hatinya. Hatinya yang penasaran menunggu. Dia terkedu. Termenung jauh tentang persoalan yang sedang bermain di mindanya.

Seketika dia bangun~ berjalan jauh melarikan diri dari skrin komputer ribanya. Hingga ditingkap itu dia terhenti. Dilihat jauh pemandangan kampung dihadapan.

Kosong~

Entah kenapa hatinya hiba. Hiba sekali~ Ingin sekali dia menitiskan air mata. Tetapi tidak terluah. Hanya terdengar kicauan bunyi burung yang sekali sekala memecah sunyi.

Petang itu sepi. Sepi sekali. Hanya ada dia di penjuru tingkap rumah kampung itu dan alam di sekelilingnya. Entah kenapa dia merasakan bahawa di dunia ini sudah tiada orang lagi setia. Betapa hati mudah berubah-ubah. Seketika ingatannya melayang kepada Aisya Humaira.

Ah.. Apa mungkin?

.: Guru~ :.

Wednesday, April 6, 2011

Dulu, saatnya zaman sekolah rendah, aku ada seorang guru yang aku amat kagumi. Dan yang paling tidak terlupakan tentang guru itu adalah kerisauan tentang semua benda yang akan terjadi. Aku jadi geli hati sekali bila teringat. Dengan teletahnya berbicara dengan kami terkadang turut merisaukan kami.

Guru ini bagiku sangat unik. Saat yang lain masih saja di kantin waktu pagi, bahkan beliau sudah pun di kelas. Oh? Beliau mengajar mata pelajaran Muzik dan Matematik.

Aku masih ingat teletah beliau ketika berbicara tentang cacing pita. Dengan gaya yang merisaukan bahkan dengan penuh keyakinan turut membimbangkan kami. Aku masih ingat bagaimana animatednya beliau bercerita tentang bagaimana seekor Khizir hutan menyodok tanah. Dan kemudian dari khinzir tersebut keluar cacing pita dan cacing pita tersebut dikutip oleh pemancing untuk dijadikan umpan. Lalu cacing itu dimakan oleh ikan dan ikan dimakan oleh kita. Aku jadi geli hati sekali bila teringat tentang guru itu.

Oh? cacing pita tidak boleh hidup di dalam tanah. Pasti.

Guru itu juga sering bercerita tentang kisah-kisah semangat. Tidak betah melayan teletah kami kanak-kanak, bahkan turut bersama dalam permainan. Dan pasti, guru ini tiada di alam universiti.

Dan yang paling unik tentang guru itu, adalah kegemarannya membundar angka. Contohnya pkul 9.51, beliau mebundarkan kepada 9.40. ataupun mengenapkan angka sebelumnya. Kami jadi penasaran menanti waktu rehat. Penasaran sekali.

Guru itu juga suka memberikan kami kerja yang banyak dan membebankan. Contohnya 40 soalan matematik yang perlu dijawab dalam sehari setiap hari. Aku masih ingat, saat aku menangis pada waktu malam semata-mata mahu masuk tidur. Terbeban dengan kerja yang diberi. Tapi setelah siap, wah.. terlalu gembira.

Tetapi kerana guru itu, aku kenal erti kesusahan. Kerana guru itu, aku kenal erti perancangan. Aku terlalu mentah ketika itu, dan kerana guru itu, aku dicorakkan menjadi aku yang sekarang. Dan untuk itu, aku berterima kasih dengan guru itu.

Kerana guru itu mengajar aku erti kesabaran dalam kesusahan~
Kerana guru itu mengajar aku erti perancangan~
Oh? Dan mungkin juga kerana guru itu sering menempah nasi lemak dari ibu melalui aku. Hehe.

Tapi Itu bukan point nya.

Lihat betapa besar jasa seorang pendidik. Aku jadi suka dengan kata-kata A. Samad Said~

"Jika hari ini yang berdiri di sini adalah seorang jurutera, pasti dipermulaannya adalah guru yang mendidiknya"

Oh? Tulisan ini tiada makna. Jadi jangan dicari. Hanya lintasan memori yang seketika memandu lalu mindaku. Aku jadi rindu dengan guru itu. Hanya secebis penghargaan pada jasa guru yang melambung itu.

Terima kasih guru~

Terima kasih.