Selesai solat Isyak di Masjid Tuanku Mizan, saya tidak terus pulang.
Entah kenapa saya ingin bersendirian buat seketika. Saya berjalan ke
suatu sudut, dan meletakkan beg galas yang berwarna kelabu kusam itu
disisi. Beg yang setia menemani saya ketika saya di alam Universiti.
Perlahan, saya keluarkan mushaf yang saya cintai itu. Saya cium penuh
ta’zim. Dan disela waktu ketika, saya membaca dan mentadabur.
Selesai mentadabur saya menjadi termenung panjang~ ya, termenung yang
sangat panjang. Betapa selama ini, saya tidak pernah mengambil tahu
tentang apa yang telah ditulis didalam mushaf yang kecil itu. Betapa
saya selama ini memandang rendah akan larangan larangan dan peraturan
yang telah diperintahkan dalam mushaf yang kecil itu.
Dan perlahan, ada genang air mata yang bertakung~
Pernah satu ketika, saya pernah membuat keputusan, bahawa ini bukan
jalan saya. Pernah saya berkata, saya tidak mahu mengambil tahu tentang
jalan ini. Jalan dakwah yang diperintahkan untuk saya. Mungkin kerana
ketika itu saya teramat rimas dengan hukum dan peraturan yang sangat
sibuk dibahaskan. Hingga saya merasakan bahawa agama yang saya anuti ini
sangat sukar. Dan pernah saya menyatakan dalam hati, bahawa biarlah
mereka yang berada didalam bidang agama ini membahaskan dan menyebarkan
agama ini antara mereka.
Astaghfirullah~
Saya beristifar. Betapa saya akui kelemahan dan kesalahan saya suatu
ketika dulu. Bahkan tidak! Jalan ini tidak memilih siapa, tetapi setiap
insan tanpa jalan ini pasti dan pasti akan tersesat. Ternyata jalan
dakwah yang saya cuba jauhi ini, jalan yang saya pernah menyerahkan
kepada golongan tertentu untuk menyebarkannya, ternyata jalan inilah
jalan yang saya cari selama ini.
Saya jadi terdetik untuk mencari kebenaran. Dan entah bagaimana,
setelah hampir berputus asa dek kerana terbebannya hukum~ Allah jemput
saya kembali melihat Islam. Saya terdetik untuk melibatkan diri dalam
mencari kebenaran. Mencari di agama manakah kebenaran yang saya cari
salama ini berada?
Dan Alhamdullilah, Allah buka saya jalan dan ruang untuk memahami
ilmu perbandingan agama. Dan saya mula mencari kebenaran itu dalam
setiap agama. Adakah pada Kristian, Hindu, Budhha ataupun Islam. Dan
ternyata dipenghujung pencarian saya, saya bertemu dengan permata yang
sangat berharga. Kebenaran yang saya cari itu ada pada Islam.
Dan saya bersetuju, jika semua agama menyatakan kebaikan, mengapa
harus Islam? Dan jawapan yang saya temui, kerana Islam itu sememangnya
diturunkan oleh pencipta sekalian alam, Allah. Maka Allah yang lebih
tahu, apa yang terbaik untuk HambaNya. Saya tidak pernah dan tidak
pernah mebanding bandingkan agama kerana mencari kelemahan. Bahkan
tidak, kerana yang saya cari adalah kebenaran.
Dan didalam Islam, segala soalan yang saya cari, ada didalam Islam.
Saya akui, sebelumnya saya juga mempunyai beberapa kekeliruan dan soalan
yang saya bimbang saya tanyakan pada Ahli agama, mereka akan berkata,
bukan tempat saya untuk bertanya. Dan saya akui, soalan soalan ini
sebenarnya adalah salah faham terhadap Islam.
Mungkin sebelum ini saya terlalu sesak kerana dihampiri dengan hukum.
Jika dimana mana ceramah yang saya hadiri, sibuk membahaskan tentang
haram, dosa, neraka dan sebagainya. Dan jujur saya katakan, saya hampir
ingin menjauhkan diri dengan majlis majlis ilmu ini hanya merasakan
terlalu banyak hukum yang saya perlu penuhi.
Astaghfirullah~ Maha Suci Allah yang menjadikan Islam itu susah untuk hambaNya.
Dan apa dari pandangan saya yang kerdil ini, mungkin kerana
pendekatan pendekatan seperti ini yang membuatkan anak muda kita
semakin jauh dengan Islam. Semakin tidak nampak keindahan Islam. Semakin
merasakan Islam itu menyusahkan. Dan jujur saya akui, saya juga pernah
merasakan perkara yang sama. Jujurnya saya bukanlah orang yang baik.
Saya seorang anak muda yang terlalu banyak melakukan kesalahan dan
kesilapan. Bahkan dosa saya tidak terbilang banyaknya hingga tidak dapat
dibayangkan oleh mereka dan mereka.
Saya juga pernah bertanya, dimana ahli ahli agama ketika saya memerlukan mereka?
Dimana mereka ketika saya merasakan sudah hampir berputus asa dari rahmat Allah?
Dimana mereka yang tahu berada dibarisan hadapan menghadapi remaja seperti saya?
Apa yang saya tahu tentang Islam sebelumnya, adalah hukum haram haram dan haram~
Haram simpan anak patung~
Haram pakai baju berkartun~
Tidak sah solat pakai seluar menunjukkan bentuk kaki~
Tidak sah solat mengerak gerak kan jari ketika tashyahud akhir~
Allah, betapa jahilnya saya~
Jarang kita bertemu dengan ceramah yang memberi nilai rahmat Allah.
Jarang kita mendengar ceramah mengenalkan Allah kepada mereka. Jarang
kita mendengar ceramah menyemaikan rasa cinta kepada Allah. Jarang kita
mendengar ceramah, Allah mengampunkan dosa walau setinggi langit atau
seluas lautan.
Bila ada cinta, takut itu pasti akan hadir. Bila ada cinta, barulah hukum yang Allah beri mampu kita bawa~
Dan saya menjadi seperti orang Islam yang baru memeluk Islam. Baru
mahu mengenal Islam dan keindahan Islam. Baru baru ini saya
berkesempatan menghadiri interfaith dialogue science and religion di
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Panelistnya terdiri daripada
beberapa orang dari agama yang berlainan. Dan apa yang saya lihat, apa
yang saya perhati, hanya Islam sahaja yang mampu menghubungkan agama dan
sains itu dengan cara yang amat terbaik, dengan cara yang amat
saintifik. Yang saya rasa amat mustahil, bahawa mana mungkin agama Islam
ini bukan dari Pencipta Alam.
Mushaf kecil itu saya dakap erat. Terasa seperti sudah terlalu lama
membiarkannya tanpa saya ketahui apa yang disampaikan didalamnya.
Apa yang membuat saya tertarik kembali dengan Islam, kembali kepada
fitrah, apabila saya berkesempatan mendengar pengisian daripada brother
Lim Jooi Soon. Ada beberapa salah faham saya terhadap Islam sebelum ini
sebenarnya telah pun dijawab didalam Islam sendiri.
Seperti soal keadilan Allah didalam Islam dan untuk manusia. Kenapa
Islam membenarkan poligyny bagi lelaki, kenapa tidak membenarkan
polyandry untuk perempuan, kenapa Allah menciptakan sesetengah orang
lahir dalam Islam dan sesetengan orang lahir dalam bukan Islam. Adakah
Islam terbina dan disebarkan atas pedang, dan sebagainya~
Dan jujurnya saya ingin menjawab segala soalan soalan ini satu
persatu.Saya yakin, soalan soalan ini bukan kita saja yang bertanya,
tetapi bahkan orang bukan Islam lain diluar yang bertanya. Insya Allah,
dikesempatan lain pasti saya akan menjawabnya. Dan yang paling berharga
yang saya temui didalam Ilmu perbandingan agama, adalah keaslian Al
Quraan. Apa yang lihat, dan yang apa mereka kongsi, Al quraan itu
sememangnya kalam dari Ilahi. Dan kita boleh melakukan dengan cara yang
sangat saintifik, langkah langkah yang sangat saintifik.
Setelah saya baru mengenal Islam, saya lebih ingin tahu apa yang
Allah kata. Berbanding apa yang manusia kata~ Walaupun saya beragama
Islam sejak lahir, tetapi baru sekarang saya ingin belajar cintakan
Allah. Bagaimana mungkin cinta akan hadir tanpa kenal, bukan? Mungkin
selama ini, saya jarang dikenalkan kepada Allah. Kenapa saya harus
sayangkan Dia? Kenapa harus saya takutkan Dia? Kenapa saya harus
rindukan Dia?
Apa yang saya lakukan sebelum ini, kerana apa yang orang kata. Kerana
orang kata saya perlu cintakan Allah, maka saya cuba tanpa saya kenali
dengan sebenarnya Tuhan yang harus saya sayangi. Sebab didalam masa yang
sama, saya terlalu disibukkan dengan hukum. Jadi diantara dua pilihan,
saya memilih mengikuti hukum dahulu. Dan kerana itu hingga timbul
perasaan bahawa Islam ini menyusahakan.
Maha Suci Allah yang dari bersifat menyusahkan HambaNya~
Mungkin satu yang kita kurang akhir akhir ini,adalah berlapang dada
dengan pandangan yang berbeza. Kita terlalu sibuk dengan pandangan
pandangan tentang hukum hingga kita mengabaikan anak anak muda yang
ingin kembali kepada Islam. Sedangkan Imam imam mazhab utama sendiri
berlapang dada dengan pandangan yang berbeza.Cuma kita saja yang sibuk
mengatakan orang ini salah, orang ini betul.
Dan mungkin salah satu perkara yang perkara yang penting disini,
adalah salah tanggapan kita terhadap Islam sendiri. Kita selalu sangka,
bila seseorang itu Islam, maka dia harus menjadi melayu. Berpelikat,
bersongkok, berbaju melayu. Bahkan tidak~ Islam bahkan lebih mulia dari
budaya. Kita keliru, menjadi seorang Islam atau memelayukan seseorang
dengan bungkusan Islam. Kita keliru, Islam itu bukah hanya ada pada
hukum.
Tidak~ diawal penurunan Islam, baginda latih sahabat dengan akidah.
Baginda lihatkan kebenaran. Bagi mereka yang mencari kebenaran, hanya
kebenaran yang mampu meluluhkan hati. Mana mungkin Tuhan itu dua atau
tiga, tetapi bersifat Esa. Mana mungkin Tuhan itu menciptakan masa maka
Dia tertakluk pada masa. Mana mungkin Tuhan itu menciptakan bentuk maka
dia terikat dengan bentuk yang Dia ciptakan.
Kebenaran kebenaran inilah yang meluluhkan mereka terhadap Islam.
Apabila mereka yakini sesuatu itu benar, maka mereka akan bermati matian
mempertahankan kebenaran. Walaupun nyawa mereka menjadi taruhan. Kerana
itu diawal penurunan Islam, Allah dan Baginda latih mereka dengan
akidah. Baginda kenalkan mereka dengan Allah. Dengan sifat penyayangNya
Allah. Baginda sampaikan kepada orang orang yang berdosa, walupun
setinggi langit dosa kamu, jika kamu bertaubat, Allah Maha Pengampun.
Baginda latih mereka dengan sifat Maha Membalas Allah~ Jika kebaikan
yang kita lakukan, maka kebaikan yang akan kita perolehi disisiNya.
Setelah akidahnya mantap, Allah ganjarkan Syurga bagi sesiapa yang
membuat kebaikan. Dan Allah memberi Amaran tentang neraka bagi sesiapa
yang membuat kejahatan.
Maka sekali lagi, bila ada cinta, maka akan hadir ketakutan mendustai
cinta. Seperti mana seorang suami bersumpah setia mencintai isterinya,
pasti akan ada rasa takut menduakannya. Takut cintanya meninggalkannya.
Kerana itu bila Allah sudah disayangi, maka mudahlah kita mengikut apa
yang Allah perintahkan.
Saya jadi terdetik ingin berkongsi, kerana ramai diluar sana yang
masih tercari cari. Dan saya yakin, bukan saya seorang yang pernah
merasa jauh dengan Islam. Bukan saya seorang yang mencari kebenaran.
Bukan saya seorang yang tersalah anggap tentang Islam.
Dan jujurnya, saya ingin menulis lagi. Menulis dan menulis.
Menyampaikan apa yang saya rasa dihati. Menjelaskan segala kekeliruan
yang saya pernah hadapi kepada mereka yang juga pernah bertanya soalan
sama. Semoga saja saya masih diberi kesempatan olehNya.
Sebelum saya akhiri, saya ingin bertanya satu soalan, tidak kah kita rasa hidayah yang kita miliki ni terlalu berharga?
Tidakkah kita rasa Islam yang kita miliki ini adalah satu anugerah?~
Jika benar, tidak kah kita ingin melihat saudara kita diluar memiliki kebenaran seperti kita?
Egonya kita, kita cuma rasa Islam itu hanya untuk kita~
Egonya kita, kita tidak merasakan jalan ini bukan jalan kita~
Egonya kita, kita tidak merasakan dakwah itu satu kewajipan walaupun sekecil mana~
Dan percayalah, diakhirat nanti, jika mereka dihukum Allah memasuki neraka~
Pasti mereka akan berkata, “saya hidup didalam kalangan orang Islam,
saya berinteraksi dengan orang Islam, saya bergelak ketawa dengan
sahabat saya yang beragama Islam, tetapi percayalah tidak ada seorang
pun diantara mereka pernah menyampaikan kalimah Islam kepada saya.
Percayalah, kerana mereka saya dihumban masuk kedalam api neraka. Dan
percayalah, kerana mereka, saya akan kekal didalamnya. Dan kerana itu,
saya tidak redha kepadanya syurga”
Maka apa jawapan kita pada ketika itu?
Jangan disibukkan dengan berapa ramai kita Islamkan orang, kerana
tetap hidayah itu milik Allah. Tapi tanya, berapa ramaikah orang yang
telah kita sampaikan kalimah Islam kepadanya. Kerana itu tanggungjawab
kita.
1 kRitIkaNs:
Baru berkesempatan baca...
Saya suka cara awak berfikir, Amin...Insya Allah, orang berfikiran seperti awaklah yang Islam cari...
Post a Comment