.: Salah faham~ :.
Wednesday, November 28, 2012
Selesai solat Isyak di Masjid Tuanku Mizan, saya tidak terus pulang. Entah kenapa saya ingin bersendirian buat seketika. Saya berjalan ke suatu sudut, dan meletakkan beg galas yang berwarna kelabu kusam itu disisi. Beg yang setia menemani saya ketika saya di alam Universiti. Perlahan, saya keluarkan mushaf yang saya cintai itu. Saya cium penuh ta’zim. Dan disela waktu ketika, saya membaca dan mentadabur.
Selesai mentadabur saya menjadi termenung panjang~ ya, termenung yang sangat panjang. Betapa selama ini, saya tidak pernah mengambil tahu tentang apa yang telah ditulis didalam mushaf yang kecil itu. Betapa saya selama ini memandang rendah akan larangan larangan dan peraturan yang telah diperintahkan dalam mushaf yang kecil itu.
Dan perlahan, ada genang air mata yang bertakung~
Pernah satu ketika, saya pernah membuat keputusan, bahawa ini bukan jalan saya. Pernah saya berkata, saya tidak mahu mengambil tahu tentang jalan ini. Jalan dakwah yang diperintahkan untuk saya. Mungkin kerana ketika itu saya teramat rimas dengan hukum dan peraturan yang sangat sibuk dibahaskan. Hingga saya merasakan bahawa agama yang saya anuti ini sangat sukar. Dan pernah saya menyatakan dalam hati, bahawa biarlah mereka yang berada didalam bidang agama ini membahaskan dan menyebarkan agama ini antara mereka.
Astaghfirullah~
Saya beristifar. Betapa saya akui kelemahan dan kesalahan saya suatu ketika dulu. Bahkan tidak! Jalan ini tidak memilih siapa, tetapi setiap insan tanpa jalan ini pasti dan pasti akan tersesat. Ternyata jalan dakwah yang saya cuba jauhi ini, jalan yang saya pernah menyerahkan kepada golongan tertentu untuk menyebarkannya, ternyata jalan inilah jalan yang saya cari selama ini.
Saya jadi terdetik untuk mencari kebenaran. Dan entah bagaimana, setelah hampir berputus asa dek kerana terbebannya hukum~ Allah jemput saya kembali melihat Islam. Saya terdetik untuk melibatkan diri dalam mencari kebenaran. Mencari di agama manakah kebenaran yang saya cari salama ini berada?
Dan Alhamdullilah, Allah buka saya jalan dan ruang untuk memahami ilmu perbandingan agama. Dan saya mula mencari kebenaran itu dalam setiap agama. Adakah pada Kristian, Hindu, Budhha ataupun Islam. Dan ternyata dipenghujung pencarian saya, saya bertemu dengan permata yang sangat berharga. Kebenaran yang saya cari itu ada pada Islam.
Dan saya bersetuju, jika semua agama menyatakan kebaikan, mengapa harus Islam? Dan jawapan yang saya temui, kerana Islam itu sememangnya diturunkan oleh pencipta sekalian alam, Allah. Maka Allah yang lebih tahu, apa yang terbaik untuk HambaNya. Saya tidak pernah dan tidak pernah mebanding bandingkan agama kerana mencari kelemahan. Bahkan tidak, kerana yang saya cari adalah kebenaran.
Dan didalam Islam, segala soalan yang saya cari, ada didalam Islam. Saya akui, sebelumnya saya juga mempunyai beberapa kekeliruan dan soalan yang saya bimbang saya tanyakan pada Ahli agama, mereka akan berkata, bukan tempat saya untuk bertanya. Dan saya akui, soalan soalan ini sebenarnya adalah salah faham terhadap Islam.
Mungkin sebelum ini saya terlalu sesak kerana dihampiri dengan hukum. Jika dimana mana ceramah yang saya hadiri, sibuk membahaskan tentang haram, dosa, neraka dan sebagainya. Dan jujur saya katakan, saya hampir ingin menjauhkan diri dengan majlis majlis ilmu ini hanya merasakan terlalu banyak hukum yang saya perlu penuhi.
Astaghfirullah~ Maha Suci Allah yang menjadikan Islam itu susah untuk hambaNya.
Dan apa dari pandangan saya yang kerdil ini, mungkin kerana pendekatan pendekatan seperti ini yang membuatkan anak muda kita semakin jauh dengan Islam. Semakin tidak nampak keindahan Islam. Semakin merasakan Islam itu menyusahkan. Dan jujur saya akui, saya juga pernah merasakan perkara yang sama. Jujurnya saya bukanlah orang yang baik. Saya seorang anak muda yang terlalu banyak melakukan kesalahan dan kesilapan. Bahkan dosa saya tidak terbilang banyaknya hingga tidak dapat dibayangkan oleh mereka dan mereka.
Saya juga pernah bertanya, dimana ahli ahli agama ketika saya memerlukan mereka?
Dimana mereka ketika saya merasakan sudah hampir berputus asa dari rahmat Allah?
Dimana mereka yang tahu berada dibarisan hadapan menghadapi remaja seperti saya?
Apa yang saya tahu tentang Islam sebelumnya, adalah hukum haram haram dan haram~
Haram simpan anak patung~
Haram pakai baju berkartun~
Tidak sah solat pakai seluar menunjukkan bentuk kaki~
Tidak sah solat mengerak gerak kan jari ketika tashyahud akhir~
Allah, betapa jahilnya saya~
Jarang kita bertemu dengan ceramah yang memberi nilai rahmat Allah. Jarang kita mendengar ceramah mengenalkan Allah kepada mereka. Jarang kita mendengar ceramah menyemaikan rasa cinta kepada Allah. Jarang kita mendengar ceramah, Allah mengampunkan dosa walau setinggi langit atau seluas lautan.
Bila ada cinta, takut itu pasti akan hadir. Bila ada cinta, barulah hukum yang Allah beri mampu kita bawa~
Dan saya menjadi seperti orang Islam yang baru memeluk Islam. Baru mahu mengenal Islam dan keindahan Islam. Baru baru ini saya berkesempatan menghadiri interfaith dialogue science and religion di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Panelistnya terdiri daripada beberapa orang dari agama yang berlainan. Dan apa yang saya lihat, apa yang saya perhati, hanya Islam sahaja yang mampu menghubungkan agama dan sains itu dengan cara yang amat terbaik, dengan cara yang amat saintifik. Yang saya rasa amat mustahil, bahawa mana mungkin agama Islam ini bukan dari Pencipta Alam.
Mushaf kecil itu saya dakap erat. Terasa seperti sudah terlalu lama membiarkannya tanpa saya ketahui apa yang disampaikan didalamnya.
Apa yang membuat saya tertarik kembali dengan Islam, kembali kepada fitrah, apabila saya berkesempatan mendengar pengisian daripada brother Lim Jooi Soon. Ada beberapa salah faham saya terhadap Islam sebelum ini sebenarnya telah pun dijawab didalam Islam sendiri.
Seperti soal keadilan Allah didalam Islam dan untuk manusia. Kenapa Islam membenarkan poligyny bagi lelaki, kenapa tidak membenarkan polyandry untuk perempuan, kenapa Allah menciptakan sesetengah orang lahir dalam Islam dan sesetengan orang lahir dalam bukan Islam. Adakah Islam terbina dan disebarkan atas pedang, dan sebagainya~
Dan jujurnya saya ingin menjawab segala soalan soalan ini satu persatu.Saya yakin, soalan soalan ini bukan kita saja yang bertanya, tetapi bahkan orang bukan Islam lain diluar yang bertanya. Insya Allah, dikesempatan lain pasti saya akan menjawabnya. Dan yang paling berharga yang saya temui didalam Ilmu perbandingan agama, adalah keaslian Al Quraan. Apa yang lihat, dan yang apa mereka kongsi, Al quraan itu sememangnya kalam dari Ilahi. Dan kita boleh melakukan dengan cara yang sangat saintifik, langkah langkah yang sangat saintifik.
Setelah saya baru mengenal Islam, saya lebih ingin tahu apa yang Allah kata. Berbanding apa yang manusia kata~ Walaupun saya beragama Islam sejak lahir, tetapi baru sekarang saya ingin belajar cintakan Allah. Bagaimana mungkin cinta akan hadir tanpa kenal, bukan? Mungkin selama ini, saya jarang dikenalkan kepada Allah. Kenapa saya harus sayangkan Dia? Kenapa harus saya takutkan Dia? Kenapa saya harus rindukan Dia?
Apa yang saya lakukan sebelum ini, kerana apa yang orang kata. Kerana orang kata saya perlu cintakan Allah, maka saya cuba tanpa saya kenali dengan sebenarnya Tuhan yang harus saya sayangi. Sebab didalam masa yang sama, saya terlalu disibukkan dengan hukum. Jadi diantara dua pilihan, saya memilih mengikuti hukum dahulu. Dan kerana itu hingga timbul perasaan bahawa Islam ini menyusahakan.
Maha Suci Allah yang dari bersifat menyusahkan HambaNya~
Mungkin satu yang kita kurang akhir akhir ini,adalah berlapang dada dengan pandangan yang berbeza. Kita terlalu sibuk dengan pandangan pandangan tentang hukum hingga kita mengabaikan anak anak muda yang ingin kembali kepada Islam. Sedangkan Imam imam mazhab utama sendiri berlapang dada dengan pandangan yang berbeza.Cuma kita saja yang sibuk mengatakan orang ini salah, orang ini betul.
Dan mungkin salah satu perkara yang perkara yang penting disini, adalah salah tanggapan kita terhadap Islam sendiri. Kita selalu sangka, bila seseorang itu Islam, maka dia harus menjadi melayu. Berpelikat, bersongkok, berbaju melayu. Bahkan tidak~ Islam bahkan lebih mulia dari budaya. Kita keliru, menjadi seorang Islam atau memelayukan seseorang dengan bungkusan Islam. Kita keliru, Islam itu bukah hanya ada pada hukum.
Tidak~ diawal penurunan Islam, baginda latih sahabat dengan akidah. Baginda lihatkan kebenaran. Bagi mereka yang mencari kebenaran, hanya kebenaran yang mampu meluluhkan hati. Mana mungkin Tuhan itu dua atau tiga, tetapi bersifat Esa. Mana mungkin Tuhan itu menciptakan masa maka Dia tertakluk pada masa. Mana mungkin Tuhan itu menciptakan bentuk maka dia terikat dengan bentuk yang Dia ciptakan.
Kebenaran kebenaran inilah yang meluluhkan mereka terhadap Islam. Apabila mereka yakini sesuatu itu benar, maka mereka akan bermati matian mempertahankan kebenaran. Walaupun nyawa mereka menjadi taruhan. Kerana itu diawal penurunan Islam, Allah dan Baginda latih mereka dengan akidah. Baginda kenalkan mereka dengan Allah. Dengan sifat penyayangNya Allah. Baginda sampaikan kepada orang orang yang berdosa, walupun setinggi langit dosa kamu, jika kamu bertaubat, Allah Maha Pengampun. Baginda latih mereka dengan sifat Maha Membalas Allah~ Jika kebaikan yang kita lakukan, maka kebaikan yang akan kita perolehi disisiNya. Setelah akidahnya mantap, Allah ganjarkan Syurga bagi sesiapa yang membuat kebaikan. Dan Allah memberi Amaran tentang neraka bagi sesiapa yang membuat kejahatan.
Maka sekali lagi, bila ada cinta, maka akan hadir ketakutan mendustai cinta. Seperti mana seorang suami bersumpah setia mencintai isterinya, pasti akan ada rasa takut menduakannya. Takut cintanya meninggalkannya. Kerana itu bila Allah sudah disayangi, maka mudahlah kita mengikut apa yang Allah perintahkan.
Saya jadi terdetik ingin berkongsi, kerana ramai diluar sana yang masih tercari cari. Dan saya yakin, bukan saya seorang yang pernah merasa jauh dengan Islam. Bukan saya seorang yang mencari kebenaran. Bukan saya seorang yang tersalah anggap tentang Islam.
Dan jujurnya, saya ingin menulis lagi. Menulis dan menulis. Menyampaikan apa yang saya rasa dihati. Menjelaskan segala kekeliruan yang saya pernah hadapi kepada mereka yang juga pernah bertanya soalan sama. Semoga saja saya masih diberi kesempatan olehNya.
Sebelum saya akhiri, saya ingin bertanya satu soalan, tidak kah kita rasa hidayah yang kita miliki ni terlalu berharga?
Tidakkah kita rasa Islam yang kita miliki ini adalah satu anugerah?~
Jika benar, tidak kah kita ingin melihat saudara kita diluar memiliki kebenaran seperti kita?
Egonya kita, kita cuma rasa Islam itu hanya untuk kita~
Egonya kita, kita tidak merasakan jalan ini bukan jalan kita~
Egonya kita, kita tidak merasakan dakwah itu satu kewajipan walaupun sekecil mana~
Dan percayalah, diakhirat nanti, jika mereka dihukum Allah memasuki neraka~
Pasti mereka akan berkata, “saya hidup didalam kalangan orang Islam, saya berinteraksi dengan orang Islam, saya bergelak ketawa dengan sahabat saya yang beragama Islam, tetapi percayalah tidak ada seorang pun diantara mereka pernah menyampaikan kalimah Islam kepada saya. Percayalah, kerana mereka saya dihumban masuk kedalam api neraka. Dan percayalah, kerana mereka, saya akan kekal didalamnya. Dan kerana itu, saya tidak redha kepadanya syurga”
Maka apa jawapan kita pada ketika itu?
Jangan disibukkan dengan berapa ramai kita Islamkan orang, kerana tetap hidayah itu milik Allah. Tapi tanya, berapa ramaikah orang yang telah kita sampaikan kalimah Islam kepadanya. Kerana itu tanggungjawab kita.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 kRitIkaNs:
Baru berkesempatan baca...
Saya suka cara awak berfikir, Amin...Insya Allah, orang berfikiran seperti awaklah yang Islam cari...
Post a Comment