.: aisya humaira~ part 1~ :.

Friday, September 17, 2010

Assalamualaikum, salam yang terindah ku sampaikan pada para sahabat sekalian. Tiada ada apa yang istimewa, Cuma keinginan dihati ini meminta untuk diluahkan. Menukilkan sesuatu yang yang ingin dikongsikan. Rindu rasanya pada blog ini. Andai blog ini adalah seperti diariku, pasti debu akan bergentayangan jika kulitnya dikuak. Diri ini sering mengimpikan satu atau dua jam yang lebih dari waktu yang telah diberi. Agar dengan waktu itu dapat digunakan untuk melakarkan isi hatinya yang penuh dengan kisah yang ingin dikongsikan. Tapi itu mimpi yang tidak akan jadi pastinya. Alhamdullilah, setelah sekian lama menyusun perancangan, melihat kekuatan, diri ini kembali menulis. Melakarkan kisah hatinya yang sentiasa meronta minta dilakarkan, mencoretkan cerita untuk dikongsi, dan mengambil pengalaman sebagai pengajaran bersama. Insya Allah~ semoga kebaikan itu dirasai bersama.

Syukur, cuti semester aku kali ini tidak terbuang begitu saja. Alhamdullilah aku dipanggil bekerja semula di tempat lama aku bekerja. Bekerja sebagai foremen di power plant arang batu sememangnya amat meletihkan. Tetapi disebalik keletihan itu, banyak ilmu yang aku timba. Ilmu yang jarang di temui dicelahnya kelas teori atau disebalik ujian-ujian makmal yang sering dilakukan. Dan salah satu pengalaman yang aku hadapi, adalah menjawab soalan agama yang ditujukan terhadap aku. Allah~ berat rasanya. Apa mungkin insan seperti aku bisa menjawab dengan sebaiknya. Tapi insya Allah, akan aku cuba semampuku. Menyelesaikannya dengan ilmu sejengkal cuma. Dengan harapan ada kebaikan yang diperolehi. Jika tidak pada masa sekarang, semoga di waktu akan datang. Dengan izin-Nya. Insya Allah~

-------------------------------------------------------------

2 Jun 2010

Hari ini cuaca agak tenang. Semilir angin bertiup. Menyampaikan ketenangan pada diri yang keletihan setelah penat bekerja. Bagi insan seperti aku, angin yang bertiup ini cukup untuk meredakan penatnya fikiran. Aku duduk seketika. Menghilangkan lelah yang masih bersisa. Keadaan workshop masih bersepah. Tiada orang disitu. Hanya aku sendirian. Yang lain telah pergi ke kantin untuk melepaskan penat. Kerja membawa jentera di arang batu pasti meletihkan bisikku. Aku duduk di workshop seorang diri. Masih belum menunaikan solat zuhur. Insya Allah, selepas solat nanti aku kemaskan workshop ini. Agar nampak kemas mata memandang.

Alhamdulillah~ kerja hari ini telah selesai semuanya. Tiada jentera yang rosak. Hanya satu masih terbelengkalai di workshop. Masih menanti set gear yang ditempah sampai. Aku berkira sendirian. Rasanya tak sempat untuk disiapkan sebelum naik semester nanti. Jadi kemungkinan, aku tidak dapat turut serta saatnya jentera itu dibaiki. Mungkin itu bukan rezeki yang tercatat untuk aku. pengalaman bekerja disini walaupun seketika tetapi banyak ilmu yang ditimba. Syukur Ilahi, kerana memberi aku peluang untuk menimba pengalaman ini. Sungguh nikmatMu terlalu banyak bagiku tuhan.

Aku bangun mengatur langkah menuju ke surau. Tak mahu rasanya melengah-lengahkan solat. Keutamaan solat diawal waktu sering ditekan oleh abah sejak aku kecil. Aku jadi rindu bila mengingatnya. Aku yang masih mentah menghadapi hidup. Melihat dunia dari kaca mata kanak-kanak. Penuh keseronokan tanpa dibebani tanggungjawab yang menghimpit. Aku jadi tersenyum sendirian. Dulu masa kanak-kanak, aku sentiasa duduk di saf belakang. Bermain pijak kaki saatnya rukuk. Tapi sekarang, bukankah tuntutan di saf depan itu lebih penting?. Mungkin masa berlalu membawa kematangan dan tanggungjawab. Dan secara tidak sedar, aku turut berada dibawah masa. Turut berlari saatnya waktu pergi. Mungkin rezekiku satu hari nanti, aku akan menjadi seorang suami pada pendamping hidupku, dan insya Allah jika diizinkan aku akan menjadi bapa. Dan giliran aku pula yang akan membawa anak-anak ku ke masjid.

0 kRitIkaNs: